Nota ini adalah hasil dari Kuliah Dhuha Bersama Ustazah Sharifah Zahrah Al Kherid, Pembimbing Haji 1443H/2022.
Tarikh:
- Kuliah Pertama: Jumaat, 22 Julai 2022
- Kuliah Ke dua: Jumaat, 29 Julai 2022
Masa: 10.00am – 1.00 tgh hr (Program solat tasbih, khatam Al Quran & tazkirah)
Tempat: Hotel Nada Al Daefah, Makkah al mukarramah
Tajuk: Istiqomah Selepas Haji
Tazkirah dimulakan dengan doa & pembuka kata.

Apa maksud istiqamah?
Kalimah istiqamah dan juga arahan untuk kita berlaku istiqamah dapat kita lihat dalam ayat 112 Surah Hud:
فَاسْتَقِمْ كَمَآ اُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْاۗ اِنَّهٗ بِمَا تَعْمَلُوْنَ بَصِيْرٌ
Maksudnya:
“Maka tetaplah engkau (Muhammad) (di jalan yang benar), sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertobat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Ayat ini nerupakan perintah kepada perkataan istiqamah itu. Terdapat juga di dalam Surah Mukmin yang menceritakan perkataan istiqomah itu.
Begitu juga dalam satu hadis Riwayat Imam Muslim, Sufian bin Abdillah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah saw “Wahai Rasulullah, khabarkan kepada aku sesuatu dalam Islam iaitu satu perkataan yang aku tak perlu bertanya selain hanya kepada engkau sahaja/ Pada dirimu saja”
Rasulullah saw berkata “Katakanlah aku beriman kepada Allah dan kemudian aku beristiqamah/tetap atas agama itu.”
Istiqomah adalah perkara yang amat sukar dalam hidup kita. Agak mudah untuk kita menyebutkan tentang keimanan kita melalui perkataan namun istiqomah tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata. Istiqamah diatas iman itu yang adalah amat payah perlaksanaannya.
Berkata Saidina Umar bin al-Khattab;
“Ya, Istiqamah itu adalah seperti kamu berdiri terus dan teguh mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan Allah, tanpa berubah-ubah.”
Antara cara yang boleh dilakukan untuk istiqomah ialah, memberi galakan dan motivasi untuk hambanya yang beristiqamah atas jalan agama dan kebenaran. Ada dalam ayat di mana satu tawaran yang Allah swt memberi tawaran syurga hanya kepada mereka yang istiqamah keimanannya.
Firman Allah swt dalam surah Fusilat ayat 30: اِنَّ الَّذِيْنَ قَالُوْا رَبُّنَا اللّٰهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوْا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلٰۤىِٕكَةُ اَلَّا تَخَافُوْا وَلَا تَحْزَنُوْا وَاَبْشِرُوْا بِالْجَنَّةِ الَّتِيْ كُنْتُمْ تُوْعَدُوْنَ
Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan kepadamu.”
Allah swt menjanjikan syurga itu untuk orang yang istiqamah atas keimanannya. Bukan berjanji kepada orang yang setakat beriman sahaja. Hanya orang yang istiqamah atas keimanannya kepada Allah swt yang mendapat tawaran tersebut. Jika sekadar beriman tetapi tidak istiqamah, maka ia tidak mendapat tawaran tersebut. Oleh yang semikian, kita digesa oleh Allah swt untuk istiqamah selepas menunaikan fardu haji.
Ini bermakna, gesaan istiqamah, adalah selepas menunaikan haji. Ia mempunyai satu signifikan yang tersendiri. Orang yang menunaikan haji berada dalam keadaan yang sudah putih bersih. Umpama bayi yang baru dilahirkan dari perut ibunya. Kita dituntut untuk mencorakkan lembaran baru dalam kehidupan kita. Selepas mengerjakan haji, kita warnakan kehidupan kita atas landasan ketaatan dan melaksanakan kebaikan-kebaikan serta amal soleh yang berterusan hingga kita menghembuskan nafas yang terakhir.
Kita perlu mengekalkan aura/momentum yang kita perolehi dari suasana di Arafah, Mina & Muzdalifah. Kemudian apabila kita balik ke Melah, kita melakukan tawaf & sa’i seterusnya bertahalul. Kita perlu terapkan dia dalam hati kita dan dalam amalan kita seharian selepas ini. Janganlah hanya ketika berada di Mekah sahaja tetapi juga setelah balik ke tanah air.
Begitu juga halnya dengan menghormati waktu solat, kekalkanlah solat di awal waktu & secara berjemaah.

Kita perlu bersyukur.
Apabila kita faham ayat ini:
Diriwayatkan daripada Abdullah r.a dalam sebuah hadis yang panjang. Antaranya, Allah swt berfirman kepada hambanya yang bermaksud “Keluarlah kamu daripada Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan daripada sesiapa sahaja yang kamu pinta ampun baginya.”
Ayat tersebut ditujukan kepada kita semua. Orang yang berada di Arafah keluar daripada segala dosa-dosa yang telah dia lakukan sejak daripada baligh sehingga sampai hari wukuf di Arafah. Kita hanya yang perlu meminta bukan setakat untuk diri kita sahaja, tetapi kita minta ampun pihak orang lain contohnya ibu bapa, suami, anak-anak, cucu cicit, saudara-mara, sahabat handai, semua jiran tetangga, muslimin & muslimat yang lain.
Siapakah orang yang mendapat offer/tawaran ini?
Tawaran keluar daripada segala dosa-dosa yang kita buat sebelum ini. Dosa dengan diri sendiri, dosa dengan ibu bapa, suami dan sebagainya.
In shaa Allah, ada ulama mengatakan Allah swt akan melembutkan hati orang yang kita berdosa dengannya & akan mengampunkan kita. Dengan cara, sebelum tidur kita ampunkan semua dosa-dosa orang yang berdosa dengan kita. Dengan cara itulah Allah swt akan gerakkan hati-hati orang yang kita berdosa dengannya untuk memaafkan kita. Oleh sebab itu, jika kita meminta ampun dari Allah swt, sama ada yang sengaja atau tak sengaja, yang besar atau yang kecil, yang nampak ataupun tak nampak, yang zahir mahupun yang batin, yang dulu atau pun yang sekarang dan dosa-dosa apa sekalipun, kita mohonlah agar Allah swt lembutkan hatinya untuk mengampunkan dosa kita. In shaa Allah Allah swt akan lembutkan hati mereka.
Jika sebelum tidur kita mengatakan “Ya Allah Ya Tuhanku, aku ampunkan semua dosa orang yang berdosa dengan aku, Ya Allah”Subhanallah…..Rupa-rupanya dalam keampunan itu ada kita yang diampunkan jua.
Bermaksud, kitalah orang yang akan mendapat tawaran/offer dari Allah ini. Itulah yang dimaksudkan dengan “Keluarlah kamu daripada Arafah dengan dosa-dosa yang telah diampunkan”.
Setiap biji batu yang kita lontar di jamrah itu akan menghapuskan dosa-dosa kita. Oleh sebab itu apabila kita membaling sebiji batu, kita sebutkan “Wahai Ya Allah Ya Tuhanku, kau buangkanlah hasad dengki dan khianat yang ada dalam hati aku ini. Ya Allah, kau buanglah sikap buruk, sikap malas & keji yang ada di dalam diri aku ini, Ya Allah”.
Kita dianjurkan membaca doa ini ketika melontar jamrah:
بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ رَجْمًا لِلشَّيَاطِينِ وَرِضًا لِلَّرْحْمَنِ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُورًا وَسَعْياً مَشْكُورًا
“Bismillaahi wallahu akbar, rajman lisysyayaathiini wa ridhan lirrahmaani allhummaj’al hajjan mabruuran wa sa’yan masykuuran.”
Artinya: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, kutukan bagi segala setan dan rida bagi Allah Yang Maha Pengasih, Ya Allah Tuhanku, jadikanlah ibadah haji ku ini haji yang mabrur dan sa‘i yang diterima.”
Ketika kita melontar, kita niatkan, kita ingin bersihkan diri kita daripada segala dosa-dosa dan perkara buruk yang ada dalm diri kita. Melontar jamrah itu akan menghapuskan dosa-dosa kita juga.
Kemudian, bagi ibadah korban yang dilakukan, pahalanya akan disimpan untukmu di sisi Tuhanmu. Ramai orang berebut-rebut untuk melakukan ibadah korban di Mekah kerana pahalanya bersamaan dengan 100 ribu. Namun kita juga boleh melakukannya di Malaysia atau di mana-mana jua. Tetapi pahalanya akan disimpan oleh Allah terlebih dahulu.
Begitu juga dengan kepala yang dicukur atau rambut yang digunting (Haram hukumnya bagi orang perempuan mencukur kepalanya sehingga botak), bagi setiap helaian rambut, akan mendapat pahala dan dihapuskan akan dosa-dosanya. Sebab itu apabila kita bergunting kita akan membaca doa. Doa yang dibaca itu adalah untuk menggugurkan semua dosa-dosa kita sebanyak rambut kita serta segala bulu-bulu yang ada di badan.
Seterusnya ialah ibadat sa’i. Sa’i dilakukan kerana kita ingin mengambil ibrah daripada sifat sabar & ketaatannya Nabi Ismail as ketika diwahyukan Allah swt kepada Nabi Ibrahim as untuk menyembelihnya. Begitu juga dengan Siti Hajar yang mempunyai semangat yang kental serta taat akan perintah Allah swt. Beliau tidak sedikit pun merungut atau mengungkit-ungkit ketika ditinggalkan keseorangan dengan seorang anak kecil. Beliau redho & tahu bahawa ia adalah perintah Allah & yakin ada kebaikannya bagi dirinya.
Begitu tinggi sekali sifat redhonya dan sabar menghadapi ujian. Renungkanlah diri kita yang sombong. Jika ada sedikit kekurangan dalam makanan, kita menolak makanan tersebut. Kita sepatutnya berazam agar sifat-sifat seperti Siti Hajar itu dapat menyerap masuk dalam hati kita & ketaatan seorang remaja seperti Nabi Allah Ismail as itu diserap masuk dalam jiwa anak-anak kita.
Subhanallah….
Maka selepas ni kita perlu menteladani mereka. Jika Allah perintahkan sesuatu, walaupun berat untuk dilakukan, kita perlu buat. Kita perlu mengekalkan momentum kemabruran haji kita ini. Haji yang mabrur itu adalah haji yang melekat & menyerap dalam hati kita. Ibadah haji yang kita lakukan itu sepatutnya dapat mengubah hidup kita menjadi lebih islamik.
Jika sebelum ini kita tidak bertudung, maka selepas ini kita akan bertudung dengan sempurna. Kita tidak lagi bersoal-jawab akan perintah Allah swt & akan melakukan segalanya kerana Allah swt. Allah yang akan membalasnya. Maka jadilah apa yang kita buat itu senantiasa mendapat ganjaran daripada Allah swt. Untuk masuk kedalam bilik air juga merupakan ibadah & ada adab & doanya.
Begitulah nilainya ibadah dalam Islam. Hatta hubungan suami isteri juga merupakan ibadah. Begitu juga dengan adab untuk makan minum, sebelum tidur & ketika bangun tidur. Semuanya ada doa-doa tertentu.
Allah swt berkata “Tidak aku ciptakan kamu jin dan manusia ini melainkan hanya untuk beribadah pada aku”.
Kita dilahirkan sebagai orang Islam, kita sepatutnya beriman & bertakwa sehinggalah kita meninggal dunia. Dan itulah dinamakan ibadah. Jika semua yang kita buat adalah kerana Allah, maka Allah akan memenuhi tuntutan kita, suami dan keluarga. Niatlah semuanya kerana Allah swt.
Kita juga dianjurkan untuk berlumba-lumba berbuat kebajikan. Buatlah kebaikan kerana setiap kebaikan akan dibalas dengan pahala Allah swt. Siapa yang membuat banyak kebaikan, dia mendapat banyak pahala. Sebab itu dalam rumah tangga, siapa yang dapat mengurus rumah tangga, dia mendapat banyak pahala. Orang yang tidak menguruskan rumah tangga kerana belerja, dia dapat kurang tapi tidakklah berdosa. Seorang wanita perlu menjaga kesihatan dirinya untuk berbakti kepada suami & menguruskan rumah tangganya.
Oleh yang demikian, sa’i itu mempunyai ibrah yang kita perlu ambil daripada amalan sahih itu. Bukan sekadar berjalan & rasa penat tetapi kita perlu melihat sudut daripada peristiwa-peristiwa yang ada dalam perjalanan hidup Siti Hajar r.a, Nabi Ibrahim a.s dan juga Nabi Ismail a.s yang sangat-sangat mengagumkan kita. Maka kita ingin mengambil sifat-sifat yang baik agar ia dijadikan sebagai satu rangsangan/motivasi pada kita untuk kita menjadi seperti mereka.
In shaa Allah jika kita faham, ia dapat diterapkan kepada anak-anak kita apabila kita balik nanti. Jiwa kita akan cekal, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dalam hidup hari ini dan akan datang.
Kerana apa?
Kerana cabaran yang dihadapi oleh Siti Hajar r.a adalah jauh lebih hebat & teruk berbanding dengan cabaran yang kita hadapi hari ini.
Sesudah kita mengerjakan haji. Malaikat akan datang dan meletakkan tangannya di atas bahu kita, dan berkata “Beramallah kamu dengan amalan yang baru dan baik selepas ini, sesungguhnya dosa-dosamu yang lepas telah pun diampunkan oleh Allah swt.”
Diharap kita semua telah bersih & Allah swt berkehendak membersihkan kita. Tolong jangan conteng semula buku rekod kita yang telah dibersihkan. Jangan conteng diri kita yang sudah bersih daripada segala dosa-dosa yang sudah berkeladak. Kekalkan kebersihan, kesucian diri kita daripada segala dosa-dosa itu hingga kita meninggal dunia.
Orang yang mengerjakan haji, biarlah ia merupakan haji yang melekat/kekal.
Maknanya apabila dia berkeinginan untuk membuat sesuatu yang tidak baik, dia akan berkata kepada dirinya “Ya Allah, aku telah mengerjakan haji, aku dah bersih. Kenapa aku masih ingin melakukan lagi benda yang tak betul ini?”
Kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita sendiri setiap kali kita terlintas untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan iman dan taqwa.
Apabila Allah swt memilih kita, mengapa kita masih ingin melakukan dosa-dosa yang akan datang? Maka kerana itulah kita perlu istiqomah menjaga kebersihan, kesucian, keimanan dan ketaqwaan yang kita perolehi di tanah suci.
Terdapat satu hadis berkenaan begitu pemurahnya Allah kepada kita.
“Beramallah kamu dengan amalan yang baru dan baik selepas ini. Sesungguhnya dosa-dosamu yang lepas telah diampunkan.”
Maka selepas ini, jagalah mulut (lidah), mata, telinga, kaki, tangan & hati/pedal kita perlu sentiasa husnudzon & berfikiran positif. Walaupun kita nampak tak berapa baik, fikirlah akan perkara yang baik-baik. In shaa Allah ia akan menjadi kenyataan. Bila kita bersangka baik kepada Allah & bersangka baik pada orang, in shaa Allah Allah akan jadikan ia satu kenyataan.
Panduan Istiqamah
Allah swt memberi isyarat yang tersurat menerusi Surah Hud. Selepas arahan untuk beristiqamah dengan beberapa nota-nota penting bermula daripada ayat 113 hingga 115 dalam surah yang telah dibacakan dipermulaan tadi, antara intipati yang boleh kita ambil untuk kita istiqamah ialah:
1. Jangan sekali-kali kita mendekatkan diri. atau terlibat dengan orang-orang yang zalim dan berbuat kezaliman. Kita perlu mencari kawan yang baik. Kita perlu duduk dengan orang yang baik. Kalau kita duduk dengan orang yang tak baik, sikit sebanyak kita akan teroengaruh dengannya. Oleh itu, untuk kita berhijrah, berhijrahlah daripada keadaan sebelum ni kepada keadaan yang haji mabrur ini. Kita perlu berhijrah sungguh-sungguh. 2. Jangan menyekutukan Allah swt. Jangan syirik kepada Allah swt. Buanglah segala kepercayaan khurafat, maksiat dan sebagainya. 3. Menjaga solat fardu dan solat Qiam. Kekalkan momentum yang kita lakukan sepanjang kita berada di Mekah, bahkan tambah baik lagi. Solatlah diawal waktu. Kerana nilainya berbeza-beza bagi solat awal waktu dengan solat di tengah dan di akhir waktu di sisi Allah swt. Begitu juga dengan solat-solat sunat. Sembahyang sunat secara berdiri atau duduk. Siapa yang bersusah payah yang lebih dalam melakukan ibadah itu maka dia akan lebih pahala dia. 4. Memaksimumkan kebaikan untuk menghapuskan keburukan/dosa. Maka, lakukanlah banyak kebaikan. Bersedekahlah. Berpesan-pesan dengan kebenaran. Jika kita melihat seseorang melakukan perkara yang tidak betul, tegurlah secara berhemah. Jika tidak mampu menegur, maka dakwahlah melalui teladan yang baik. Perbanyakkan zikrullah. 5. Sabar dan berserah diri kepada Allah swt. Elakkan marah-marah akan hal yang telah berlaku. Ucapkanlah Alhamdulillah, innalillah hiwainna ilaihirrojiun apabila ditimpa musibah. Belajar untuk sabar & redho. Bersabar boleh mengelakkan penyakit jantung & kerosakan buah pinggang serta penyakit-penyakit yang lain.
Perbanyakkanlah berserah diri & bertawakal kepada Allah swt. Jika kita telah berusaha, tetapi belum berjaya untuk mendapatkan redho, maka berusahalah lagi. Allah Maha Mengetahui kepada siapa yang ingin diberikan Nya. Kemungkinan jika tidak dapat sesuatu di dunia, maka kita akan dapat di akhirat kelak. Sentiasalah berazam untuk menjadi ahli syurga.
Nota fikir sebagai panduan untuk merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah sesudah pulang ke tanah air :-
1. Berpegang dengan akidah yang benar.
Menjauhi syirik dan khurafat. Akidah, syariah & akhlak merupakan tiga perkara yang dimaksudkan dengan Islam. Yang dibawa oleh Islam. Apabila kita bercerita tentang Islam, tiga perkara inilah yang perlu ada dalam diri kita. Yang pertama adalah akidah yang betul. Inilah perkara asas yang utama yang perlu diperhatikan; akidah yang benar & iman yang jitu kepada Allah swt. Akidah yang benar ni ialah akidah mengikut apa yang dibawa dan diperjuangkan oleh Nabi Muhammad saw dan juga para sahabat. Masalah pada hari ini ialah, ramai orang yang mengaku beriman tetapi masih mencampur adukkan iman dengan perkara-perkara yang syirik, bidaah ataupun karut-marut. Ada juga yang berfahaman Syiah , Qadyani , Taslim dan macam2 lagi ajaran sesat lainnya… Bersihkan diri kita dengan tauhid ahli sunah waljamaah yang kita ikut selama ini.
Allah swt berfirman surah al-Ana’am ayat 82:
الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْم أُولَئِكَ لَهُمُ الأمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ
”Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”
Oleh itu, berhati-hatilah dengan sebarang ajaran sesat.
Al-Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim membawa riwayat dari Imam Bukhari bahawasanya tatkala ayat ini dibacakan, para sahabat bertanya kepada Baginda s.a.w:
“Manakah dari kalangan kami yang tidak terlepas dari menzalimi diri kami sendiri?”
Lalu Nabi s.a.w menjawab tentang maksud kezaliman dalam ayat tersebut dengan turunnya Firman Allah yang lain iaitu :
إن الشرك لظلم عظيم
“Sesungguhnya syirik itu merupakan kezaliman yang sangat besar.”
Oleh sebab itulah, sekiranya orang yang syirik tidak bertaubat, maka dia akan kekal buat selama-lamanya dalam api neraka dan dia tidak akan berjumpa syurga. Maka sebab itu kalau kita merasa kita berlaku syirik, bersegeralah beristighfar & bersyahadah.
Bacaan zikir tasbih yang dibacakan dalam solat tasbih sebentar tadi adalah untuk memperbaharui keimanan kita kepada Allah swt.
Tinggalkanlah segala amalan kurafat dan kembalilah kepada kesucian akidah yang akan menyelamatkan kita dalam dua kehidupan yang bakal dilawati oleh setiap daripada kita semua iaitu alam barzakh dan alam akhirat kita nanti. Tanpa akidah yang betul kita akan menjadi masyarakat jahiliah moden, yang mana ia akan membawa kekacauan dalam hidup kita.2. Iltizam dengan solat jemaah dan solat sunat.
Kekalkan momentum solat-solat fardu & sunat. Nabi saw bersabda “Kalau siapa mendengar azan lalu tidak menghadiri solat jemaah, maka seolah-olah tiada solat baginya kecuali jika dia uzur, yakni ketakutan ataupun dia dalam keadaan sakit” Hadis ini adalah tuntutan untuk orang lelaki supaya solat berjemaah.
Bagi kaum wanita, cukuplah dengan bersolat di rumah untuk mengelakkan fitnah atau membangunkan/menggalakkan suami untuk ke masjid. Mereka akan mendapat pahala yang sama seperti yang diperolehi oleh suaminya. Namun, jika mampu untuk pergi bersama-sama suami ke masjid, maka itu adalah lebih baik. Maka teruskanlah momentum seperti kita berlari-lari ke Masjidil haram setiap hari apabila balik ke tanah air nanti, melainkan atas kekangan bekerja. Orang yang bekerja, boleh bersolat secara berjemaah di surau pejabat.
Ustazah membawa sebuah kisah dari satu hadis berkenaan dengan seorang ulama hadis yang sangat termasyhur & tersohor namanya ketika tahun 48H. Kisah berkaitan seorang ulama hadis bernama Sulaiman bin Mihran (148H) atau lebih dikenali dengan gelaran al-A’amash. Seorang yang ternama dizamannya. Pada saat beliau di pembaringan menanti saat kematiannya, anak-anaknya & kaum keluarganya, berada di sekelilingnya sambil menangis meratapi keadaan beliau yang sedang nazak itu. Apabila dia melihat keadaan anak, isteri dia menangis, dia pun segera memanggil anak-anak & isterinya supaya mendengar akan pesanannya. Dengan sangat perlahan, beliau berpesan “Wahai anak-anak aku yang dikasihi, janganlah engkau menangis mahupun khuatir dan risau akan ayah. Jangan risaukan aku lagi. Jangan sedih, jangan susah hati, jangan terlalu berduka cita, hentikanlah tangismu. Janganlah menangis lagi. Cukuplah, kerana ayahmu ini selama 60 tahun lamanya, aku tidak pernah sekalipun tinggal ataupun terlepas daripada mengangkat takbir yang pertama bersama imam untuk solat berjemaah di masjid.”
Subhanallah…. Itulah kelebihan orang yang sentiasa bersolat berjemaah di masjid.
Maka didiklah anak-anak lelaki kita untuk solat ke masjid. Kita hendaklah mengekalkanlah solat sunat rawatib sekurang-kurangnya 12 rakaat/hari, solat sunat dhuha, witir & qiamulail apabila kita pulang ke tanah air nanti.3. Melazimi pakaian taqwa dan patuh syariat.
Pakaian yang dipakai ketika berada di tanah suci (menunaikan haji) merupakan pakaian takwa. Yakni pakaian yang labuh, longgar, tidak jarang, tidak menampakkan bentuk tubuh, tidak sendat, tidak ketat & tidak kelihatan seperti orang jahat. Jika ingin memakai seluar, pakailah seluar yang longgar & baju yang melepasi bahagian paha.
Pakaian taqwa adalah pakaian yang diperintahkan oleh Allah swt. Oleh itu, kaum wanita perlu mematuhi perintah Allah swt.
Jika ada diantara jemaah haji yang sebelum ini tidak menutup aurat & menutup aurat dengan sempurna apabila datang menunaikan haji, maka kekalkanlah.
Allah swt berfirman dalam surah Az-Zalzalah Ayat Ke-7:
فَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ خَيرًا يَرَهُ
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya”.
Kita perlu merenung akan dosa-dosa silam kita yang kita lakukan sejak akhil baligh sehingga sekarang. Ketahuilah bahawa Allah swt mencatat semua kebaikan & dosa-dosa kita. Maka hendaklah kita bertaubat nasuha akan segala dosa-dosa kita. Sekiranya ada pakaian-pakaian yang tidak mematuhi syariat, maka hendaklah dipakai di dalam rumah sahaja atau dikeluarkan daripada simpanan.
Bagi pakaian orang Arab, mereka memakai abaya di bahagian luar pakaian mereka.
Maksud Surah An Nur Ayat 60:
“Dan para perempuan tua yang telah berhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin menikah (lagi), maka tidak ada dosa menanggalkan pakaian (luar) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan; tetapi memelihara kehormatan adalah lebih baik bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”
Yang dimaksudkan dengn ayat ini ialah, pakaian “ABAYA” yang dipakai dibahagian luar pakaian orang berbangsa arab & bukannya bermaksud mereka dibenarkan membuka aurat mereka.
Oleh itu, hendaklah kita memahami akan perintah Allah swt yang mensyariatkan kaum wanita agar sentiasa berpakian yang menutup aurat.
Oleh kerana kekangan masa, pengajian akan disambung pada 29 Julai 2022.
Kuliah Ke Dua: Jumaat, 29 Julai 2022
Sambungan tazkirah selepas majlis khatam Al Quran. Tazkirah dibacakan oleh Zan Aizan.

Tiada lagi alasan untuk kita meninggalkan pakaian taqwa dari tubuh kita. Kepada para hajjah terutamanya, mulakanlah dengan melihat deretan dan lipatan baju yang ada dalam koleksi. Periksa samada ia patuh syariah atau tidak. Jangan lagi berhias dengan tabarruj jahiliyyah. Inilah bukti mabrurnya haji yang dilakukan.
Panduan utama menerusi firman Allah Ta’ala dalam surah al-Nur ayat 31:
“Katakanlah kepada para mukminat agar mereka merendahkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan (kemaluan dan maruah) mereka. Tidak boleh mereka mendedahkan kecantikan dan perhiasan yang mereka miliki kecuali yang dibolehkan. Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka sehingga menutupi bahagian bawah dada mereka…”
Di penghujung ayat yang sama Allah berfirman: “Janganlah diantara mereka menghentakkan kaki mereka dengan tujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka…”
Sabda Nabi s.a.w: “Ada dua golongan ahli Neraka yang belum pemah kulihat. Manusia-manusia yang punya cemeti seperti hujung ekor lembu dan memukul-mukul manusia dengannya. Perempuan yang berpakaian tetapi seolah-olah bertelanjang, suka menarik perhatian dan berwatakan menggoda. Kepala mereka umpama bonggolan unta yang meliuk-liuk. Mereka tidak akan masuk Syurga apatah lagi mencium baunya. Sungguhpun bau syurga itu dapat dihidu dari ribuan batu jauhnya.” (Muslim)
Begitu juga dengan sikap dan pergaulan. Pastikan semuanya terkawal. Jika anda bekerja di pejabat misalnya jauhi sikap keluar berdua-duaan atau keluar dengan lelaki yang bukan mahram walaupun dengan alasan kerja atau sekadar keluar makan. Jaga batas pergaulan dan bersikap seperti mukmin profesional dengan jatidiri dan sifat sejati muslimah. Jauhi gurau senda dan hilai tawa atau bertepuk tampar. Gunakan dengan bijak laman-laman web sosial dengan tujuan yang murni bukan dengan memasukkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, aksi-aksi yang tidak sesuai dan segala yang negatif.
Banyak yang perlu dijaga dan diawasi. Insya Allah jika semua ini dipatuhi dan dijaga, anda akan merasakan diri anda diawasi dan dirahmati Allah sentiasa.
Teruskan amalan-amalan Sunat / Zikir dan Doa
Inilah amalan-amalan yang telah diamalkan sepanjang permukiman ibadah kita dalam musim Haji. Jadikan amalan-amalan ini sebagai perisai diri kita dari segala gangguan dan sebagai penambah bekal di alam barzakh dan pemberat mizan di akhirat. Latihan sepanjang kita tinggal di Makkah, amalan ketika Arafah dan bumi Mina harapnya dapat menjadikan kita sudah terbiasa dan semoga menjadi tabiat yang baik untuk kita. Zikir pagi dan petang, zikir selepas solat dan zikir harian adalah senarai zikir yang dilafazkan dan diamalkan sendiri oleh Nabi s.a.w. Apakah punya lidah yang mengucap zikir yang lebih baik dari lidah mulia Nabi s.a.w? Sewajarnya kita berbangga dengan mengamalkan zikir-zikir warisan Nabi s.a.w ini kerana inilah zikir yang serupa dibacakan oleh manusia teragung, penghulu sekelian Nabi dan Rasul.
Antara zikir yang disukai oleh Nabi s.a.w dan para Anbiya’ sebelum baginda ialah:
لا اله الا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد ( يحيي و يميت ) وهو على كل شيء قدير
“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah. Tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala pemilikan dan pujian. Dialah yang menghidup dan mematikan dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu.” (Al-Tirmizi dan Ahmad)
Fadhilatnya tiada taranya. Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang membacanya sepuluh kali selepas fajar dalam keadaan tetap kedua-dua kakinya akan dititipkan baginya sepuluh kebajikan dan dihapuskan sepuluh keburukan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat. Seluruh harinya akan dipelihara dari segala perkara yang tidak diingini dan dipagar dari gangguan Syaitan dan tidak ada dosa yang mengirinya pada hari itu kecuali jika dia berlaku syirik kepada Allah.” (AlTirmizi dan Ahmad]
- Bersahabat dengan Al-Quran
Alhamdulillah dengan kekuatan, keazaman dan usaha giat para jemaah Haji ramai yang dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh berada di Makkah alMukarramah. Insya Allah tanamkan azam dalam diri setiap dari kita agar melazimi dan terus ‘bersahabat dengan Al-Quran setelah pulang ke Malaysia nanti.
Sabda Nabi s.a.w: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari akhirat nanti sebagai syafaat kepada pendampingnya (ketika di dunia).” [Muslim]
Antara mukjizat Al-Quran ialah ia diutuskan untuk mengimbangi dan menjadi ‘supplement’ (khasiat harian) kepada ruh manusia. Allah Ta’ala berfirman dalam surah al-Syura ayat 52:
“Begitulah kami mewahyukan kepadamu ruh (Al-Quran) dari ketetapan kami. “Manusia terdiri dari unsur akal, fizikal dan ruh. Maka setiap satu punya keperluan tersendiri. Keperluan bagi ruh manusia adalah Al-Quran.
• Cintakan Ilmu dan melazimi majlis ilmu
Pada hari ini ilmu mudah didapati di mana-mana dan terlalu mudah diakses dengan hanya menggunakan jari sahaja. Namun, ilmu yang paling penting adalah ilmu yang akan menyelamatkan kita dalam dua kehidupan, dunia dan akhirat. Ia merupakan satu tugas dan kewajipan yang sentiasa berjalan bermula dari hari kelahiran hingga detik kematian. Sentiasalah kita berdoa agar dikurniakan dengan ilmu yang bermanfaat bukan ilmu yang membawa laknat.
Allah berfirman dalam surah Taha ayat 114: “Katakanlah, wahai Tuhanku tambahkanlah kepadaku akan ilmu pengetahuan.”
Nabi s.a.w juga menitip pesan: “Menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap individu muslim.” [Ibnu Majah – Hadis ini dkategorikan sebagai Hasan).
Ingat bahawasanya dengan kejahilan manusia akan berada dalam gelita dan kegelapan. Hanya dengan ilmu manusia akan terselamat dan memiliki cahaya untuk menyuluh jalan hidupnya. Jangan hanya kita mudah berpuas hati dengan ilmu yang telah kita pelajari. Pastikan ilmu meningkat dan sesuai dengan pergerakan usia.
Malulah kita jika usia sudah dewasa atau meningkat tua, tapi ilmu masih bertaraf tadika! Carilah ilmu walau dimana sahaja; masjid, surau, tv, radio dan internet. Umpama kata-kata Imam Syafie rhm: ‘Sikapku dengan mencari ilmu adalah umpama seekor ibu ayam kehilangan anaknya.’

• Halal haram dalam kewangan dan muamalat
Ingatilah bahawasanya Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 278-279:
Al-Baqarah Ayat 278-279
يٰۤـاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَذَرُوۡا مَا بَقِىَ مِنَ الرِّبٰٓوا اِنۡ كُنۡتُمۡ مُّؤۡمِنِيۡنَ
فَاِنۡ لَّمۡ تَفۡعَلُوۡا فَاۡذَنُوۡا بِحَرۡبٍ مِّنَ اللّٰهِ وَرَسُوۡلِهٖۚ وَاِنۡ تُبۡتُمۡ فَلَـكُمۡ رُءُوۡسُ اَمۡوَالِكُمۡۚ لَا تَظۡلِمُوۡنَ وَلَا تُظۡلَمُوۡنَ
Ertinya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah segala bentuk-bentuk riba jika benar kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya sesungguhnya kamu telah mengisytiharkan peperangan dengan Allah dan RasulNya. Jika kamu bertaubat, maka ambillah modalnya (pokok harta tersebut) dan kamu tidak menzalimi dan dizalimi.”
Begitu juga Nabi s.a.w pernah menitipkan amaran bahawasanya memakan harta riba itu dosanya yang paling ringan adalah seperti menikahi ibu sendiri (Lihat dalam hadis no 4504 dalam Al-Jami’e Al-Suyuti] dan lebih berat dari 36 kali melakukan perzinaan! [Lihat Al-Munziri, Al-Targhib wa Al-Tarhib, 3/68].
Bukan itu sahaja malahan orang yang terlibat dengan riba ini juga akan menjemput bala dan azab Allah dalam kehidupannya.
Sabda Nabi s.a.w:
itu dosanya yang pal.Jami’e Al-Suyuti] dan hib 3/68). Bukan itu sahaja, malahan orang yang terlibat dengan riba ini juga akan menjemput bala dan azab Allah dalam kehidupannya.
Sabda Nabi saw:
إذا ظهر الزنا و الربا في قرية ، فقد احلوا بانفسهم عذاب الله
“Jika perzinaan dan riba berlaku secara berleluasa dalam sebuah kawasan, maka penduduknya telah menghalalkan turunnya azab Allah kepada mereka. “[Lihat Sahih al-Jami’e no 679, Syeikh Nasir al-Din)
Masalah umat Islam hari ini dengan sistem kewangan yang ada, merasa selesa dengan segala bentuk nikmat dan kekayaan yang diperolehi saat ini walaupun mungkin bersalut riba. Perasaan takut, risau, kurang keyakinan sudah tentu akan terbit kesan dari lamanya terlibat dengan sistem riba. Inilah hasil dari penjajahan barat terhadap dunia Islam yang masih kekal walaupun sudah bebas dan mampu mentadbir dunia mereka sendiri. Mengapa sistem yang direncana Yahudi dan Nasrani itu masih mendominasi ruang pasaran kewangan umat Islam.
Umat Islam pernah gemilang dengan pengaplikasian sistem Allah dalam era emas pemerintahan Islam di dunia. Mengapa kita kembali semula ke lembah dan lumpur jijik rekaan Yahudi dan Nasrani sedangkan kita pernah hidup dalam keindahan dan keadilan sistem yang bersumberkan wahyu Allah. Namun, peluang untuk kita kembali semula kepada sistem Allah yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan keuntungan akhirat masih terbuka luas. Oleh itu, selepas pulang dari Haji nanti perhatikanlah harta benda kita dan sumber rezeki kita. Periksa semua jenis harta, simpanan, pelaburan, saham, perniagaan, hartanah dan seumpamanya. Pastikan semuanya bebas dari riba. Jika masih belum, setelah pulang nanti pastikan semuanya ditukar dan diuruskan sesuai dengan kehendak syariat.
Sistem kewangan dan perbankan Islam sentiasa menanti untuk memberi khidmat yang terbaik dan pastinya patuh syariah demi kesejahteraan dalam kehidupan. Tukar semua akaun yang masih konvensional sifatnya kepada sitem perbankan Islam. Bertaubatlah! Jangan biarkan harta benda kita dijadikan senjata untuk kita berperang dengan Allah Ta’ala dan Rasulnya kerana masih terikat dengan riba dan sistemnya. Bergembira dan beruntunglah semula dengan keuntungan dan kejayaan yang merupakan tawaran hebat dari Allah!
Firman Allah Ta’ala dalam surah Ali Imran ayat 130:
Allah berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ الرِّبَا أَضْعَافاً مُّضَاعَفَةً وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ . وَاتَّقُواْ النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu makan sebarang hasil riba berlipat kali ganda. Bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya kamu akan memperoleh kejayaan.”

PENUTUP
Semoga risalah kecil ini dapat memberi sedikit panduan berguna kepada para jemaah Haji yang akan pulang ke tanah air nanti. Semoga Allah menerima segala amalan kebajikan kita dan menjadikan kita semua dari kalangan haamba-hambanya yang beroleh nikmat, rahmat dan kemenangan dari kalangan orang-orang yang soleh.
Selamat pulang ke pangkuan keluarga dan selamat beramal. Kuatkan azam dan semangat serta motivasi untuk melakar perubahan. Semoga perubahan kita kesan Haji yang mabrur akan membekas juga kepada saudara seagama kita yang lain.
Wallahua’alam.
Nota tambahan:
Tazkirah ini adalah olahan dari catatan tazkirah oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman (Abu Anas Madani) yang ditulis pada 27 November 2011. Terima kasih kepada Tuan Guru diatas perkongsian ini yang sangat bermanfaat kepada para jemaah haji.
Semoga bermanfaat kepada semua jemaah haji Wira Saujana Travels & Tours S/B 1443H.
Fi khairin wa lutfin wa’afiah
Catatan Nota Kuliah:
💝Zan Aizan💝
Jumaat, 22 Julai 2022 (part 1)
Jumaat, 29 Julai 2022 (part 2)
Makkah Al Mukarramah